Hak Cipta Terpelihara

Wednesday, February 2, 2011

Bekas Pengarah Imigresen Pulau Pinang didakwa


BEKAS Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun (tengah) dibawa keluar dari mahkamah didakwa atas tuduhan memiliki wang dan harta berlebihan sebanyak RM 152,081 di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, di Georgetown, 24 Jan. Dia merupakan individu pertama di negara ini yang menghadapi dakwaan tersebut. - Utusan/ZHAFARAN NASIB

PULAU PINANG 24 Jan. - Bekas Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki wang dan hartanah berlebihan sebanyak RM152,081 daripada jumlah pendapatannya.

Ia merupakan kes pertama dalam sejarah perundangan negara yang melibatkan dakwaan seumpama itu.

Abdul Rahman, 52, yang hadir ke mahkamah sejak pukul 8.15 pagi dengan ditemani isteri dan seorang anak lelakinya, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan selesai dibacakan kepadanya.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan kes terhadap tertuduh yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya dibicarakan mulai 13 Jun ini.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mempunyai wang dalam tiga akaun bank yang dimilikinya sebanyak RM681,355 dan sebuah tanah lot bernilai RM136,000 di Sepang, Selangor.

Daripada wang dan harta berjumlah RM817,355 itu, didapati telah berlaku lebihan sebanyak RM152,081 setelah diambil kira jumlah emolumen sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.

Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Oktober tahun lalu di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, No. 44, Kompleks SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Anthony Kevin Morais mengikut Seksyen 36(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Morais menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh namun peguam Mohd. Fadly Hashim yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM6,000 atau RM7,000.

Menurut Mohd. Fadly, sejak siasatan kes itu dimulakan SPRM pada Ogos 2009, akaun bank dan harta milik tertuduh telah dibekukan kecuali akaun gajinya.

''Tertuduh dan isteri juga amat dihormati masyarakat, jadi kebarangkalian untuknya melarikan diri dan tidak hadir ke mahkamah amat tipis,'' ujar beliau.

Selain itu, katanya, anak guamnya mempunyai empat anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

Sitarun Nisa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Abdul Rahman dibebaskan kira-kira pukul 11.30 pagi setelah isterinya membayar wang jaminan.

Utusan
25 Jan 2011

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...